Thursday, May 14, 2015

REFLEKSI

Sudah lama saya tidak menulis di dalam blog. Selepas 7 tahun  meninggalkan blog ini, kini saya kembali.Cuba menggoogle blog sendiri. Saya membelek-belek beberapa entri yang pernah saya tulis. Adakalanya ia menggamit kenangan - kenangan lalu. Tidak ubah seperti sebuah diari di alam maya.Selepas 7 tahun juga saya masih di sini. Tinggal di daerah di mana saya dilahirkan. Berkerja di tempat yang sama sebagaimana permulaanya ketika blog ini ditulis. Mungkin situasinya agak berbeza.Berubah mengikut peredaran masa.

Sewaktu blog ini dibangunkan, saya masih bujang dan pada waktu itu menetap di Felda Kemahang 1 bersama keluarga kerana komitmen ayah berkerja di situ. Dan kini selepas ayah berpisah dengan ibu, saya bersama ibu menyewa di sebuah rumah kedai di Kampung  Ayer Ralek, Jedok. Dua atau tiga tahun sebelumnya memang kami berdua sementara adik beradik yang lainnya telah berkerja di sekitar Kuala Lumpur dan adik yang bongsu masih lagi belajar di Politeknik Arau Perlis. Isteri saya pula pada ketika itu masih di Sarawak. Menjadi pendidik seperti saya.

Terasa dunia ini sunyi benar ketika itu. Apabila malam tiba, ibu lah tempat saya mengadu hal. Becerita tentang kehidupan ini dan masa depan kami sekeluarga setelah ayah berkahwin lain.Dan apabila tiba waktu tidur, ibu di dalam sebuah bilik di suatu sudut di dalam rumah kedai ini manakala saya di suatu sudut beralaskan tilam toto mengadap dinding. Rutin  pada waktu itu begitulah, kadang-kadang jika tiada apa-apa yang ingin dibualkan.kami tidur lebih awal.

Sesekali saya menelefon isteri yang jauh di Saratok, salah sebuah daerah pedalaman di Sarawak.Sekadar melepaskan rindu pada anak kami yang sulung. Sesekali kerap juga saya ke sana apabila cuti persekolahan bermula.Memang jauh dan memenatkan. Jika dihitung saya memerlukan  masa seharian suntuk untuk sampai ke sana.

Pengalaman di Saratok berkunjung ke rumah isteri akan saya ceritakan di kemudian hari. Apa yang ingin saya ceritakan disini ialah perbezaan situasi yang ada pada hari ini. Isteri saya telah pun dapat berpindah pulang ke semenanjung dan mengajar di sekolah yang berdekatan dengan tempat saya mengajar.

Perasaannya agak sedikit linang dan lega. Saya tidak perlu lagi bersusah payah menempah tiket awal untuk ke sana. Tidak perlu lagi perlu berulang-alik ke Putrajaya untuk merayu pertukaran isteri diluluskan. Syukur kepada yang Maha Esa kerana memudahkan segala urusan. Sekadar ini dahulu perkongsian saya rentetan peristiwa sepanjang blog ini ditinggalkan.

Nota 1 : Malam kian merangkak ke perdu Subuh. Esok hari terakhir persekolahan untuk minggu ini.
Nota 2: Rancangan Pengajaran Harian masih ada yang belum beres.

No comments:

PELAWAT :-