Saturday, October 18, 2008

KENANGAN

di sini, di desa ini
telah ku temui
cebisan kengan masa silam
di tengah keluarga
di tengah kawan - kawan
dengan berbagai cerita
dengan berbagai telatah
- zaman kanak - kanak yang menyeronokkan
- masa remaja yang maha manis
semuanya membungkus rindu
untuk aku kembali ke alamnya semula

kini
ketika aku kembali lagi ke mari
ke daerah kelahiran ini
aku telah kehilangan segalanya itu
dan aku bagai anak asing di sini
dengan kesepian
yang tak bisa kugambarkan
mungkinkah masa dan zaman
terlalu amat menghukum segala
dan telah menciptakan
perubahan demi perubahan suasana

lalu yang ada hanya
kenangan masa silam yang tetap abadi
yang terus membungakan rindu demi rindu.

SENJA YANG MENGELIRUKAN

tika menghayati warna senja
terlupa pada malam
sebenarnya senja ini hanya seketika
malam adalah perjalanan abadi

senja yang sedetik lagi
melabuhkan diri ke dada malam
kembali merenung diri
takut menghadapi malam

kembalilah segera
ke rumah putih
sebelum DIA
menutup pintu - Nya.

oleh : Jaafar Abdul Wahid

GAMBAR SEKITAR JAMUAN HARI RAYA SMKAL













Friday, October 17, 2008

GAMBAR LAMA

Sewaktu saya sedang membelek - belek buku - buku lama, tiba - tiba terjumpa sebuah album lama. Lalu saya mula membelek - belek album tersebut. Terdapat sekeping dua gambar yang secara tidak sengaja menggamit kenangan silam. Ini adalah antara gambar yang sempat saya 'scan' untuk dimuatkan di laman blog ini. Gambar tersebut diambil ketika kami sekeluarga berada di Felda Tersang. Usia saya di dalam gambar sekitar 19 tahun. Tahun pertama di universiti. Saya berdiri kiri sekali diikuti adik perempuan dan adik - beradik lelaki yang lain. Gambar tersebut diambil sekitar tahun 2000. Kini sudah lapan tahun berlalu. Saya pun sudah berkerjaya. Selepas tamat tingkatan 5 dan berpindah ke Kelantan, tiada lagi khabar yang saya terima daripada teman - teman lama. Ke mana perginya Zul, Wek, Epis, Li, Fairus dan kawan - kawan lain yang sama - sama belajar di tingkatan 5 dulu. Masih hidup lagikah kalian. Cuma Kamarul sekarang dah menjadi guru di SK Tersang 3. Mungkin ada antara mereka yang sudah pun berumahtangga. Ingin juga saya bertemu kembali dengan mereka dan berbual - bual seperti dulu sambil menghirup bihun celup di warung yang selalu kita lepak.

Namun saya perlu akur, masa sudah mengubah segala - galanya. Kita tidak mungkin dapat bersama seperti dulu. Lantaran diri masing - masing sudah mempunyai tanggungjawab dan komitmen. Saya sendiri kini berada hampir di hulu Kelantan. Kita semakin jauh kawan..semakin jauh. Hanya takdir yang akan dapat mempertemukan kita kembali.

Thursday, October 16, 2008

BANGUNLAH DARI MIMPI

Susulan 4 buah syarikat yang telah diserbu oleh Bank Negara Malaysia baru - baru ini benar - benar mengejutkan semua pihak. Lebih - lebih lagi kepada pelabur yang telah melabur di dalam syarikat berkenaan. Bagi yang sudah mendapat pulangan tidak kisahlah tetapi bagaimana dengan nasib pelabur - pelabur yang baru sahaja melabur dengan tidak mendapat apa - apa pulangan lagi. Sudah tentu mereka semua tidak dapat tidur lena. Apa yang menyedihkan lagi keempat - empat buah syarikat terbabit adalah milik bumiputera yang pada pandangan saya mereka mempunyai potensi yang besar untuk berjaya di peringkat global. Tetapi malang sekali akibat nila setitik rosak susu sebelanga.

Bank Negara Malaysia dikatakan terpaksa membuat serbuan ke atas 4 syarikat terbabit ekoran daripada laporan salah seorang pelabur yang melabur di dalam sebuah syarikat yang bernama Buluh Mas yang dikatakan sudah 5 bulan tidak mendapat pulangan. Akibat terlalu marah lalu laporan dibuat dan akhirnya 3 lagi syarikat terpaksa diperiksa latar belakang dan bentuk perniagaan yang dijalankan. Namun apapun diharapkan pihak Bank Negara dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya agar nasib para pelabur yang rata - ratanya terdiri daripada orang Melayu dapat dibela. Jika tidak, sampai bila pun kita tidak dapat memegang ekonomi negara kita.

Melalui syarikat berkenaan kita saling dapat membantu di antara satu sama lain bagi mengukuhkan ekonomi orang Melayu yang saya difahamkan mempunyai banyak rangkaian di dalam menyediakan produk - produk yang halal kepada kita yang beragama Islam.

Dari sudut yang lain, kepada orang Melayu bangunlah dan sedarlah dari mimpi. Kekayaan tidak akan datang dengan mudah. Jangan kita mengharapkan yang bulat akan datang bergolek atau yang pipih akan datang melayang. Jika ingin mengejar kekayaan tidak salah jika kita memulakan perniagaan secara kecil - kecilan. Biar untung tidak seberapa tetapi ia terjamin. Paling -paling tidak kita boleh gunakan tanah yang terbiar di belakang rumah untuk bercucuk tanam atau menternak binatang ternakan seperti itik telur dan ayam kampung yang saya fikir mempunyai pasaran yang agak baik. Jika ada kemahuan di situ ada jalannya. Apa yang lebih penting keinginan, semangat yang tinggi serta usaha yang berterusan tanpa kenal erti penat dan akhirnya kita akan berjaya. Ingatlah langkah beribu batu itu bermula dengan langkah yang pertama.

Wednesday, October 15, 2008

EMPAT BUAH SYARIKAT KENA SERBU

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menyerbu empat buah syarikat skim cepat kaya melalui Internet yang mempunyai rangkaian beratus-ratus ribu pelabur dengan nilai pelaburan dipercayai mencecah ratusan juta ringgit.

Serbuan tersebut dilakukan di beberapa lokasi di Lembah Klang setelah syarikat-syarikat terbabit disyaki menjalankan kegiatan mengambil deposit tanpa lesen dan membuat pelaburan haram di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Mengikut maklumat daripada laman web, secara umumnya syarikat-syarikat tersebut menetapkan bayaran minimum RM1,000 sebagai deposit untuk pendeposit menyertai bidang perniagaan seperti pengiklanan, pelancongan dan perkhidmatan.

BNM dalam satu kenyataan di sini memberitahu, syarikat terlibat ialah Buluhmas Enterprise Sdn. Bhd., Jazmeen (M) Sdn. Bhd., Noradz Travel & Services Sdn. Bhd. dan Eastana Farm Industries Sdn. Bhd.

Buluhmas yang beribu pejabat di Tanjung Karang, Selangor dalam laman webnya mendakwa ia memiliki 700,000 ahli sebagai pembayar deposit di seluruh negara.

Kaedah perniagaannya menggunakan promoter untuk mengiklankan aktiviti syarikat dengan menampal pelekat yang tertera logo syarikat atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pendeposit.

Sekitar pukul 9.30 malam ini, laman web Buluhmas masih boleh dilayari yang menunjukkan sejak April lalu ia telah menerima hampir 250,000 pengunjung.

Sementara itu, Jazmeen dalam laman webnya mendakwa dengan permulaan modal sebanyak RM1,000, pendeposit mampu mendapat pulangan 120 peratus dalam tempoh 12 bulan pertama dan jumlah itu terus bertambah pada tahun-tahun berikutnya.

BNM dalam kenyataannya menambah, tindakan ke atas keempat-empat syarikat itu diambil setelah Unit Penyiasatan Khas BNM menjalankan siasatan terhadap aktiviti syarikat berkenaan.

“Kesemua penganjur skim pelaburan itu akan ditahan selepas BNM merekodkan kenyataan mereka kerana disyaki mengambil deposit secara haram dan menjalankan aktiviti penggubahan wang haram,” jelas kenyataan itu.

Seorang jurucakap BNM ketika dihubungi memberitahu, jumlah sebenar ahli terlibat dan nilai deposit yang dikumpulkan oleh keempat-empat syarikat itu hanya akan diketahui apabila kes mereka dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

Aktiviti syarikat-syarikat itu disiasat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang melarang mana-mana individu yang tidak mempunyai lesen daripada menerima dan mengambil deposit.

Katanya, jika sabit kesalahan pegawai dan pemilik syarikat-syarikat terlibat boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau dipenjara untuk tempoh 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Syarikat-syarikat itu juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) yang melarang mana-mana individu daripada terlibat atau cuba untuk membabitkan diri atau bersubahat melakukan kegiatan penggubahan wang haram.

Jika disabitkan kesalahan, mereka yang didakwa boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut kenyataan BNM, skim pelaburan yang dianjurkan oleh keempat-empat syarikat yang diserbu hari ini menyatakan kononnya ia berasaskan perdagangan mata wang, pasaran hadapan komoditi, pelaburan luar persisiran dan saham-saham lain.

Dakwaan itu, kata BNM, hanya rekaan semata-mata.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan skim yang ditawarkan melalui Internet, panggilan telefon atau seminar yang dianjurkan oleh individu atau syarikat yang tidak dilesenkan oleh BNM,’’ jelas kenyataan itu.

Orang ramai boleh mengetahui senarai syarikat dan institusi berlesen yang menerima deposit dengan melawat laman web BNM di www.bnm.gov.my.

Berita ini di petik daripada Utusan Malaysia

PELAWAT :-