Thursday, October 16, 2008

BANGUNLAH DARI MIMPI

Susulan 4 buah syarikat yang telah diserbu oleh Bank Negara Malaysia baru - baru ini benar - benar mengejutkan semua pihak. Lebih - lebih lagi kepada pelabur yang telah melabur di dalam syarikat berkenaan. Bagi yang sudah mendapat pulangan tidak kisahlah tetapi bagaimana dengan nasib pelabur - pelabur yang baru sahaja melabur dengan tidak mendapat apa - apa pulangan lagi. Sudah tentu mereka semua tidak dapat tidur lena. Apa yang menyedihkan lagi keempat - empat buah syarikat terbabit adalah milik bumiputera yang pada pandangan saya mereka mempunyai potensi yang besar untuk berjaya di peringkat global. Tetapi malang sekali akibat nila setitik rosak susu sebelanga.

Bank Negara Malaysia dikatakan terpaksa membuat serbuan ke atas 4 syarikat terbabit ekoran daripada laporan salah seorang pelabur yang melabur di dalam sebuah syarikat yang bernama Buluh Mas yang dikatakan sudah 5 bulan tidak mendapat pulangan. Akibat terlalu marah lalu laporan dibuat dan akhirnya 3 lagi syarikat terpaksa diperiksa latar belakang dan bentuk perniagaan yang dijalankan. Namun apapun diharapkan pihak Bank Negara dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya agar nasib para pelabur yang rata - ratanya terdiri daripada orang Melayu dapat dibela. Jika tidak, sampai bila pun kita tidak dapat memegang ekonomi negara kita.

Melalui syarikat berkenaan kita saling dapat membantu di antara satu sama lain bagi mengukuhkan ekonomi orang Melayu yang saya difahamkan mempunyai banyak rangkaian di dalam menyediakan produk - produk yang halal kepada kita yang beragama Islam.

Dari sudut yang lain, kepada orang Melayu bangunlah dan sedarlah dari mimpi. Kekayaan tidak akan datang dengan mudah. Jangan kita mengharapkan yang bulat akan datang bergolek atau yang pipih akan datang melayang. Jika ingin mengejar kekayaan tidak salah jika kita memulakan perniagaan secara kecil - kecilan. Biar untung tidak seberapa tetapi ia terjamin. Paling -paling tidak kita boleh gunakan tanah yang terbiar di belakang rumah untuk bercucuk tanam atau menternak binatang ternakan seperti itik telur dan ayam kampung yang saya fikir mempunyai pasaran yang agak baik. Jika ada kemahuan di situ ada jalannya. Apa yang lebih penting keinginan, semangat yang tinggi serta usaha yang berterusan tanpa kenal erti penat dan akhirnya kita akan berjaya. Ingatlah langkah beribu batu itu bermula dengan langkah yang pertama.

No comments:

PELAWAT :-